Saturday, May 9, 2009

S. Pushpaneela mahu M. Manoharan kekal ADUN Kota Alam Shah

S. Pushpaneela dan anaknya Ganendra menunjukkan sajak yang ditulis oleh M. Manoharan untuk Ganendra ketika dia menyambut ulang tahun hari kelahiran kesembilan pada 19 Mei tahun lalu. Manoharan, baki tiga pemimpin Hindraf ditahan di bawah ISA sudah diputuskan oleh kerajaan untuk dibebaskan, semalam.


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang serius menimbang untuk melepaskan kerusi itu diharap akan kekal wakil rakyat bahagian tersebut ekoran pembebasan beliau daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Isterinya, S. Pushpaneela berkata, beliau akan meminta Manoharan supaya tidak mengosongkan kerusi DUN Kota Alam Shah, sebaliknya terus berkhidmat kepada pengundi-pengundi di bahagiannya.

"Harapan saya ialah beliau tidak akan melepaskan jawatan ADUN," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Pushpaneela berkata, beliau akan menyampaikan hasrat itu sebaik sahaja Manoharan dibebaskan.

Beliau dijangka keluar dari Pusat Tahanan Perlindungan di Kamunting selewat-lewatnya Isnin ini.

Minggu lalu, Pushpaneela selepas melawat Manoharan di Kamunting memberitahu bahawa suaminya sedang memikirkan dengan serius untuk mengosongkan kerusi DUN kerana tidak dapat memberikan khidmat dengan berkesan kepada pengundi-pengundinya.

Manoharan yang juga seorang pemimpin Hindraf akan dibebaskan bersama dua lagi pemimpin kumpulan haram itu, P. Uthayakumar dan K. Vasantha, dan 10 yang lain dalam tempoh terdekat ini seperti yang diumumkan hari ini oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Laporan The Star menyebut bahawa sebuah van Jabatan Imigresen dilihat membawa keluar sekumpulan tahanan ISA dari pusat tahanan di Kamunting kira-kira pukul 12.40 tengah hari ini.

Mereka dipercayai antara tahanan ISA warga asing yang turut dibebaskan.

Kota Alam Shah yang terletak di Selangor dimenangi oleh Manoharan dengan majoriti 7,184 undi.

Manoharan, seorang peguam, memperoleh 12, 699 undi manakala Ching Su Chen calon BN-Gerakan mendapat 5,515 undi.

Walaupun dalam tahanan ISA, Manoharan bertanding dalam pilihan raya umum dan menang kerusi tersebut.

Beliau antara satu-satunya tahanan ISA yang bertanding dan memenangi pilihan raya umum 2008.

Beliau merupakan antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA sejak Disember 2007.

artikel asal : mStarOnline

No comments:

Post a Comment