Friday, May 15, 2009

PAKATAN RAKYAT SEDIA BERTEMU NAJIB BERHUBUNG PENYELESAIAN KRISIS PERAK

Pakatan Bersedia Temui Najib

Pakatan Rakyat bersedia untuk menemui Perdana Menteri Najib Abdul Razak bagi memecahkan kebuntuan politik dan memulihkan demokrasi di negeri Perak.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata Pakatan Rakyat tetap dengan pendirian bahawa jalan penyelesaian kepada krisis perlembagaan Perak adalah melalui pilihan raya negeri.

“Pakatan Rakyat bukan mahu bertolak-ansur, tetapi bekerja bersama-sama untuk menghormati Perlembagaan, menghormati Kedaulatan Undang-Undang, dan kemuncaknya kembali kepada rakyat,” kata Anwar.

Beliau yang mewakili Pakatan Rakyat berkata demikian pada sidang akhbar bersama pemimpin lain di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur hari ini. Presiden Pas Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin turut hadir di sidang akhbar itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menegaskan Pakatan Rakyat bersetuju mengadakan pertemuan dengan Najib bersandarkan kepada hasrat Pakatan memulihkan institusi demokrasi yang terhakis disebabkan rampasan kuasa Barisan Nasional.

“Kita akan terus menggunakan tindakan perundangan, walaupun pada masa lalu kita telah menyuarakan kesangsian kita terhadap keberkesanan sistem keadilan yang mengadili kes-kes yang dibawa ke mahkamah,” kata Anwar.

“Dengan mengambil kira langkah-langkah repressive yang telah diambil BN sepanjang krisis ini, kita masih bersabar dan bersedia untuk mencari jalan penyelesaian secara aman, dan tuntas bagi memulihkan konflik ini,” kata Anwar.

Anwar bagaimanapun berkata pertemuan dengan Najib tidak akan memberi menjejaskan pendekatan perundangan yang diambil Pakatan Rakyat berhubung krisis politik ini.

“Kita berpendirian untuk meneruskan pendekatan undang-undang yang telah diambil. Namun begitu, ini adalah krisis politik dan ia tidak boleh diselesaikan di mahkamah atau di istana. Ia harus dipulangkan kepada mahkamah rakyat, kerana akhirnya keputusan terletak di tangan rakyat,” kata Anwar.

artikel asal : TVAntara


klip video ehsan : tvpas09

No comments:

Post a Comment