Friday, May 15, 2009

MALAYSIA TELAH DIJANGKITI SELSEMA BABI, MANGSA PERTAMA PELAJAR 21 TAHUN

Kes Pertama Flu H1N1 di Malaysia


Seorang pelajar 21 tahun mangsa pertama dijangkiti wabak influenza A (H1N1) atau selesema babi yang disahkan di Malaysia hari ini, demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pada 15 Mei 2009," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

"Ini merupakan kes yang pertama influenza A (H1N1) dikesan di Malaysia."

Pelajar itu, yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau telah diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan di laman web rasmi kementerian berkenaan.

Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan mangsa dengan orang lain, termasuk ahli keluarga beliau dan penumpang serta anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, USA yang tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.

Kementerian juga meminta semua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut supaya menghubungi talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk tindakan susulan.

Menurut kenyataan itu lagi, kementeria meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa merujuk segera kes-kes mereka yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak tersebut dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut: batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, selain kes di atas, Pusat Tindakan dan Persiapan Krisis (CPRC) kementerian menerima 11 lagi notifikasi kes - enam kes dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh, dua di hospital Seremban dan masing-masing satu kes di hospital Ipoh, Hospital Pulau Pinang dan hospital Kota Bharu bagi tujuan siasatan dan pemerhatian.

Sehingga 15 Mei 2009 jam 8.00 pagi Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan satu (1) negara baru terjejas dengan influenza A(H1N1) iaitu Belgium yang melibatkan 1 kes menjadikan jumlah keseluruhan negara terlibat menjadi 34 buah. Kumulatif kes adalah sebanyak 7,457 kes influenza A(H1N1) disahkan oleh ujian makmal dengan peningkatan sebanyak 1,378 kes berbanding dengan laporan pada hari sebelumnya. Peningkatan ini dilaporkan di enam (6) buah negara iaitu di USA (946), Mexico (387), Kanada (31),
Panama (10), Colombia (3) dan Belgium (1). Dua (2) lagi kematian dilaporkan di Mexico menjadikan keseluruhan kematian kepada 65 orang.

WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran Influenza Pandemik di Fasa 5 semenjak 29 April 2009 dan TIDAK menyarankan sebarang tindakan sekatan dari segi perjalanan, perdagangan serta penutupan sempadan yang perlu dilakukan oleh mana-mana negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.

artikel asal : malaysiakini

No comments:

Post a Comment