Tuesday, May 5, 2009

Mengapa PM baru perlu segera melawat negara jiran?

Sewaktu aplikasi Microsoft Word dibuka untuk menulis artikel ini pada petang Rabu, 29 April, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak bersama isteri beliau serta rombongan terdiri daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim; Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu dan Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay; dan beberapa pegawai kanan kerajaan tiba di Bandar Seri Begawan.

Menurut ceritanya, rombongan Najib dijangka membincangkan isu kepentingan bersama dengan matlamat memperkukuh dan meningkatkan persahabatan serta kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brunei.

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa adalah penting Malaysia menjalin hubungan diplomatik sihat dengan negara-negara luar terutamanya negara anggota ASEAN, tetapi nampaknya sudah menjadi semacam satu tabiat mahal yang kerap dilakukan bagi PerdanaMenteri baru negara membuat lawatan seumpama ini tidak lama setelah mengangkat sumpah jawatan.

Dahulupun ketika (Tun) Abdullah Ahmad Badawi mula-mula menjadi Perdana Menteri beliau begitu tergesa-gesa mengadakan lawatan bukan sahaja ke negara ASEAN malah ke negara-negara lain sehinggakan beliau mencipta rekod peribadi tersendiri dalam mengadakan lawatan luar ke luar negara.

Kini tidak sampai pun sebulan Najib mengambil tempat Abdullah selaku Perdana Menteri, beliau dan rombongannya telahpun mengadakan lawatan ke dua buah negara ASEAN bermula dengan Indonesia.

Tentulah sesuatu yang baik, setidak-tidaknya untuk diri beliau sendiri sekiranya Najib bercita-cita mahu menjadikan dirinya sebagai Perdana Menteri yang sekurang-kurangnya lebih menonjol daripada Abdullah kerana merasakan tidak mungkin dapat menyamai kecermelangan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sejauh ini, iaitu dalam masa sebulan selepas menjadi Perdana Menteri, dari segi mencipta slogan Najib sudahpun menunjukkan kegarangannya apabila dengan tergesa-gesa mengidentifikasikan kepimpinannya dengan slogan 'Satu Malaysia' sehinggakan dunia tertanya apakah fokus dan cita-cita negara rakyat Malaysia mengalami perubahan sebaik sahaja bertukar Perdana Menteri.

Tatkala Dr Mahathir mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Hussein Onn pada 1981, beliau memiliki beberapa slogan dalam begnya. Antaranya termasuklah Penerapan Nilai-Nilai Islam, Dasar Pandang Ke Timur dan beberapa lagi.

Sebelum bersara Dr Mahathir mencipta pula Wawasan 2020 dengan harapan setidak-tidaknya slogan itu kekal menjadi popular dan diasosiasikan kepada dirinya lama setelah beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Mungkin Dr Mahathir menyedari cita-cita menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju tidak mungkin dapat dicapai pada tahun 2020 sekiranya ia hanya berdasarkan pertumbuhan ekonomi tahunan pada kadar 7 peratus yang dinikmati Malaysia pada beberapa tahun sekitar 1980-an.

Beliau sendiri sudah tentu lebih maklum prestasi seperti itu sukar dikekalkan kerana keadaan ekonomi yang tidak statik dan sentiasa berubah-rubah dari masa ke semasa. Namun, bagi beliau, selagi rakyat Malaysia percaya cita-cita itu berkemungkinan dicapai menerusi semangat Malaysia Boleh, maka selagi itulah Wawasan 2020 akan kekal diperkata dan dikumandangkan.

Begitupun, disebabkan terlalu lama menjadi Perdana Menteri, beliau terlupa bahawa jawatan tersebut bukan sekadar kepimpinan dan khidmat untuk rakyat dan negara tetapi ia juga adalah semacam satu perlumbaan peribadi 'siapakah sebenarnya lebih tahu macam mana nak jadi Perdana Menteri'.

Maka tidak lama selepas beliau bersara, Wawasan 2020 segera dipeti-besikan oleh Abdullah. Beliau menggantikannya dengan Islam Hadhari, Cemerlang, Gemilang, Terbilang dan tiba-tiba fokus dan orientasi cita-cita rakyat Malaysia mengalami satu transformasi minda dan psikologi yang besar.

Kini tibalah pula giliran apa yang menjadi lencana keperdana-menteriannya (premiership) dibungkus satu persatu oleh Najib sebelum disimpan dalam peti-besi sejarah buat selama-lamanya.

Islam Hadhari dikatakan akan dikaji semula dan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang pula sudah tidak kedengaran lagi.

Nampaknya Najib memulakan perlumbaannya di atas landasan yang dibina Dr Mahathir dan dijejaki oleh Abdullah. Bermula dengan pencipataan slogan, diikuti pula dengan pengukiran janji untuk membuat itu dan ini seolah-olah secara tidak langsung mengatakan 'segala sesuatu yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri terdahulu tidak betul dan dialah sebenarnya yang benar-benar tahu bagaimana membuatkan apa yang salah menjadi betul'.

Kini Najib seolah-olah berusaha keras untuk memintas rekod Abdullah dalam membuat lawatan luar negara.

Nampaknya semua ini dan banyak lagi sudah menjadi semacam satu tradisi pemimpin Umno apabila dilantik menjadi Perdana Menteri.

Selain membazirkan wang awam bagi membuat lawatan hanya untuk memberitahu pemimpin negara yang dilawati bahawa "I'm the new boss now", atas alasan kononnya mahu menjalinkan persabahatan dan kerjasama dua-hala lebih erat (seolah-olah sebelum ini persahabatan dan kerjasama kurang erat di bawah kepimpinan lama), rakyat juga akan kehilangan fokus apabila slogan baru diperkenalkan bagi menggantikan slogan yang telah dipopularkan dengan kos yang ditanggung rakyat sendiri.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana kita dipersenda dan ditertawakan oleh orang lain.

Kini Najib sibuk bercakap tentang liberalisasi. Tapi apakah beliau telah membebaskan dirinya dari tradisi memulakan jawatan Perdana Menteri ini dengan pelbagai pembaziran yang sebenarnya tidak diperlukan sama sekali?
artikel asal : HarakahDaily

No comments:

Post a Comment