Monday, May 18, 2009

Dakwaan ‘Jamuan dan Beri T-Shirt’ Belum ada Bukti

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong menyeru pimpinan dan ahli PAS supaya sentiasa istiqamah kepada perjuangan dan membina rasa bertanggungjawab yang tinggi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selaku Penasihat PAS Kuala Terengganu dalam majlis perasmian Mesyuarat Agong Kali Ke 34 PAS kawasan tersebut disini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan yang dibuat oleh beberapa pimpinan kanan yang menampakkan ketidakmatangan dalam berfikir.

“Saya rasa sungguh kecewa bila membaca dan mendengar mendengar ucapan beberapa orang kepimpinan parti yang menampakkan ketidakmatangan dalam berfikir,

“seseorang yang bertaraf pemimpin mestilah dapat membezakan antara yang buruk dan yang baik dalam mana-mana ucapan,”ujarnya.

Dengan merujuk kepada kenyataan Dato’ Ustaz Mohamad Daud Iraqi mengenai mengadakan jamuan dan pemberian T-Shirt yang disiarkan dalam akhbar baru-baru ini, beliau berkata, bukan fungsi dan aras Ketua Dewan Ulama’ untuk mendedahkan perkara sedemikian.

Sebagai pengamal undang-undang, Dato’ Wan Mutalib berkata, beliau tidak akan bercakap tanpa fakta apatah lagi atas perkara boleh menimbulkan fitnah.

Katanya, musuh-musuh PAS sedang memainkan isu tersebut dengan mengatakan apa bezanya PAS dengan UMNO, sedang ia belum terbukti kebenarannya.

“Dari segi faktanya bagaimana ? Adakah faktanya begitu ? Hakikatnya perkara tersebut belum terbukti,”katanya.

Sedangkan, secara perbandingannya, kata beliau, kes-kes rasuah politik yang berlaku dalam UMNO telah terbukti kesahihannya.

Mesyuarat Agong PAS Kawasan Kuala Terengganu Kali Ke 34 yang berlangsung di Markaz Tarbiah PAS Kuala Ibai telah dirasmikan oleh Bendaha Agong PAS, Dr. Mohd Hatta Ramly.

Turut hadir adalah wakil-wakil dari pemimpin parti Pakatan Rakyat, En. Ng Chai Hing mewakili DAP dan Cikgu Mohd Azlan mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR)

artikel asal : BuletinOnline

No comments:

Post a Comment