Thursday, April 23, 2009

Lagi Krisis UMNO Terengganu : Jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan digantikan dengan pemimpin lain?


Kedudukan Ahmad diputus Jumaat ini

Kemelut politik di negeri ini terus hangat, apabila desas-desus dan khabar angin terbaru yang bertiup kencang mengatakan bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan digantikan dengan pemimpin lain, kini semakin menarik perhatian ramai.

Perkembangan ini secara tidak langsung menyebabkan kedudukan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk terus menerajui kepimpinan UMNO Terengganu dikatakan berada dalam keadaan tidak menentu.

Malah, sekiranya perkara ini berlaku, Ahmad juga bakal menghadapi tugas sukar untuk menguruskan pentadbiran negeri memandangkan ia seperti sebuah kapal yang diuruskan dua nakhoda.

Bagaimanapun, tanda tanya dan spekulasi mengenai kedudukan sebenar Ahmad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, hanya terjawab pada Jumaat ini, apabila ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Ahmad ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu selepas melawat mangsa ribut di Kampung Penarik, Setiu, semalam, mengatakan beliau akur dengan setiap keputusan dibuat pucuk pimpinan parti mengenai kedudukannya ketika ini.

Menurut Ahmad, ini memandangkan pucuk pimpinan lebih berhak menentukan kedudukannya ketika ini dan menyerahkan segala keputusan kepada pihak terlibat untuk menentukan kepimpinan parti di Terengganu.

Ahmad yang enggan mengulas lanjut berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah berhubung perkara tersebut dan menerimanya dengan positif.

“Saya tidak mahu mengulas kedudukan saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang akan diputuskan pucuk pimpinan parti Jumaat ini. Biarlah pucuk pimpinan parti menentukan kerana mereka berhak berbuat demikian.

“Saya tidak perlu buat komen apa-apa dan saya terima setiap keputusan dibuat pucuk pimpinan dengan hati terbuka. Saya tidak ada masalah berhubung perkara ini,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya hasil perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak baru-baru ini, Ahmad tidak mahu memberi sebarang ulasan dan menyerahkan kepada Najib untuk menjawab perkara berkenaan.

artikel asal : SinarHarian

No comments:

Post a Comment