Thursday, April 23, 2009

Krisis Terengganu : Bukan Kemelut Politik, Masalah Tak Puas Hati

Tidak ada ‘kemelut politik’ yang berlaku di negeri Terengganu tetapi ia adalah masalah tidak puas hati yang diheret sejak perlantikan Menteri Besar Terengganu Mac tahun lalu.

“Kemelut apa? Tidak ada kemelut, cuma pertukaran Menteri Besar, apabila berlaku pertukaran dengan keadaan kontroversi,

“dengan calon-calon (ADUN) dipilih oleh Dato’ Idris maka (Dato’) Ahmad Said menghadapi masalah dalam pelantikan Exco dan sebagainya,
“tetapi dalam jangka pendek Ahmad Said boleh menyelesaikannya,”kata Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Dr. Haji Rosli Mat Hassan.

Menurutnya boikot yang dilakukan oleh 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO/Barisan Nasional adalah kesan dari rasa ketidakpuasan hati mereka.

Beliau berkata masalah tersebut berpanjangan apabila berlaku pemilihan Ketua-ketua Bahagian beberapa bulan yang lalu.

“Samada ada kita rasa betul atau tidak itu hakikatnya, apabila berlaku pertandingan di Bahagian (UMNO), kumpulan Ahmad Said berlawan dengan kumpulan Idris, masalah tidak puas hati berterusan,”ujarnya ketika ditemui disini, semalam.

Katanya, kebiasaan yang berlaku dalam pemilihan bahagian akan menimbulkan perpecahan dalam UMNO kerana tidak semua orang boleh menerima kekalahan.

Apabila ditanya tentang tuduhan-tuduhan 10 ADUN berkenaan yang mendakwa Ahmad Said tidak berlaku adil, beliau berkata, hanya 5 isu yang benar-benar relevan dari keseluruhan 18 tuduhan yang dikemukakan.

“Isu tidak memberi peruntukan kepada ADUN, sebenarnya tahun lepas, Ahmad bukan tidak beri, malah menaikkan peruntukan dari RM 200,000 kepada RM 400,000,

“pemecatan pegawai dan kakitangan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan, biasalah tu, siapa dia Menteri Besar pun akan mencari kakitangan yang sesuai dengannya, Menteri pun begitu,”jelasnya.

Mengulas isu pelantikan Senator katanya, Nordiana Shafie tidak disambung kerana di zaman Dato’ Idris, beliau telah melantik Ketua Puteri itu yang bertentangan dengan tradisi sebelum ini.

Katanya jawatan Senator adalah diperuntukkan kepada Ketua Wanita kerana mereka tidak diberi peluang untuk menjadi calon dalam pilihanraya.

Beliau dengan keras menafikan tuduhan ‘10 ADUN pemberontak’ yang mendakwa beliau adalah perancang dan ‘master-mind’ kepada konspirasi politik kumpulan Ahmad Said.

“Saya tahu Dato’ Idris sendiri dalam SMS yang dihantar kepada kawan-kawan saya berkata Menteri Besar restu ketua-ketua Bahagian melantik ‘kroni’nya sebagai pengerusi penyelaras DUN,

“UMNO negeri tidak campur tangan (pelantikan pegerusi penyelaras) Ahmad Said menyerah kuasa itu kepada ketua-ketua bahagian,”katanya.

Beliau menasihatkan mereka yang menentang kepimpinan Ahmad Said supaya berubah dan menjadi seorang yang berjiwa besar.

Mengambil contoh pelantikan penyelaras DUN Ajil, beliau berkata tidak salah dan munasabah apabila Dato’ Tengku Putera melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi penyelaras dan melantik Dato’ Rosol sebagi Timbalan Pengerusi.

“Apa salahnya, apa isunya, Status Speaker DUN kan besar lagi dari ADUN, berpakatlah, apakah (jawatan) ketua sentiasa menjadi hak kita,

“pokoknya berubahlah menjadi jiwa besar,”katanya yang ditujukan kepada Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Dato’ Rosol Wahid.

artikel asal : BuletinOnline

No comments:

Post a Comment