Tuesday, November 2, 2010

SPR sudah sedia, kami tiada masalah adakan pilihan raya Sarawak bulan ini

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyangkal tanggapan bahawa pihaknya tidak bersedia untuk mengadakan pilihan raya negeri Sarawak dalam notis yang singkat sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam waktu terdekat ini.

Sehubungan itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya bersedia untuk mengadakan pilihan raya negeri Sarawak bila-bila masa termasuk bulan ini jika perlu.

“(Tanggapan) itu tak betul, kami bersedia bila-bila masa... kami sudah lama membuat persediaan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan yang memerintah bila hendak membubarkan DUN.

SPR perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari bermula dari tarikh pembubaran DUN.

Kata beliau, lazimnya ia akan dibubarkan mengikut kesesuaian kerajaan yang memerintah, dalam kes Sarawak ialah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Jika DUN dibubarkan, ikut kesesuaian mereka, kami akan mengadakan pilihan raya, kami tiada masalah... sebab kami sudah lama bersedia” kata beliau sambil berkata, persiapan meliputi semua aspek sudah pun selesai.

“Ini termasuk soal logistik, dan kami pun sudah ada bajet untuk mengadakan pilihan raya negeri,” kata beliau lagi.

“Kami pun sudah ada tenaga kerja, pekerja-pekerja pilihan raya sudah pun dikenal pasti, soal logistik pun sudah diteliti” kata beliau tidak menolak aspek kemudahan tempat pengundian, musim perayaan dan kemungkinan musim tengkujuh perlu diambil kira dalam menentukan tarikh pengundian.

“Akan ada musim peperiksaan tidak lama lagi, kami memerlukan kemudahan sekolah untuk dijadikan tempat pengundian... ini semua kena diambil kira,” kata Abdul Aziz lagi.

Pada satu taklimat minggu lalu, di sebalik spekulasi mengenai pilihan raya negeri Sarawak, penganalisis Dr Ong Kian Ming meramalkan kemungkinan ia diadakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang atas alasan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud kelihatan “lebih berminat” untuk membubarkannya bulan ini.

Bagaimanapun Ong juga memberitahu, meskipun Taib lebih ‘berminat’ ke arah hujung bulan depan, tetapi maklumat diterimanya juga menunjukkan SPR tidak bersedia untuk mengendalikan pilihan raya dalam tempoh itu.

“Kemungkinan ia akan diadakan hujung bulan depan adalah antara 30 hingga 40 peratus... kebarangkalian ini adalah berdasarkan tahap kesediaan untuk mengadakan pilihan raya jika DUN Sarawak dibubarkan,” kata beliau.

“Sebenarnya, sukar bagi SPR untuk mengadakan pilihan raya dalam notis yang singkat,” hujah Ong pada sesi taklimat berkaitan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi serta pilihan raya negeri Sarawak di sini baru-baru ini.

SPR dipercayai telah bersiap sedia dari segi sumber manusia tetapi kemungkinan berhadapan dengan kekangan logistik jika DUN Sarawak dibubarkan bulan ini.

Latihan awal bagi pekerja-pekerja pilihan raya dikatakan telah diadakan pertengahan tahun ini.

Kini, SPR sibuk dengan urusan pengendalian pilihan raya kecil kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi.

DUN Sarawak bersidang bermula semalam dan dilihat sebagai yang terakhir sebelum pilihan raya umum.

Ong berkata, sementara komponen Pakatan Rakyat (PR) Sarawak masih ‘bertelagah’ dalam menentukan pembahagian kerusi, Taib kemungkinan mengambil kesempatan itu dan juga suasana pemilihan pucuk kepimpinan PKR yang akan berakhir hujung bulan ini.

Proses pengundian pemilihan pucuk kepimpinan PKR secara berperingkat-peringkat bermula Jumaat ini.

Jelas beliau, sekiranya ia tidak diadakan sebelum awal Disember, kemungkinan besar pilihan raya negeri Sarawak hanya akan diadakan Mac depan.

Mandat semasa DUN Sarawak akan berakhir Julai 2011. Sekiranya tidak dipanggil pilihan raya awal ia akan terbubar dengan sendirinya.

Di DUN Sarawak, BN memiliki 62 kerusi, Barisan Bersatu Sarawak (dua), Parti Keadilan Rakyat (satu), Parti Kebangsaan Sarawak (satu), DAP (enam) dan calon Bebas (satu).

Parti-parti komponen BN telah diminta mengenal pasti calon masing-masing sebelum Disember ini.

Awal September lalu, Taib berkata BN Sarawak sedang memuktamadkan senarai calonnya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, beliau masih menunggu parti komponen BN negeri untuk membuat penilaian sendiri dan memuktamadkan calon mereka pada pilihan raya negeri berkenaan.

Taib, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB), tunjang BN Sarawak sebelum ini berkata, beliau telah mengenal pasti 70 peratus daripada calonnya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Ong juga berkata, kecuali SUPP parti-parti komponen lain dalam BN juga belum bersedia dan rela jika pilihan raya negeri diadakan tahun depan.


Oleh G Manimaran TMI

No comments:

Post a Comment