Wednesday, January 6, 2010

Enjin hilang : Dua didakwa hari ini

Jan 6, 10 8:58am

Seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling
Jaya hari ini berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pertuduhan ke atas anggota TUDM itu dibuat atas dakwaan bersubahat melakukan kesalahan curi dalam bangunan, manakala pengarah syarikat tersebut akan didakwa atas kesalahan menolong menghapuskan harta curi.

"Hasil siasatan menunjukkan bahawa kedua-dua enjin F5 itu dibawa keluar dari Gudang Material Udara 1 (Matra 1) Kuala Lumpur hasil persuhabatan anggota tentera berpangkat sarjan, dan keterangan juga menunjukkan seorang pengarah syarikat menolong melupuskan kedua-dua enjin pesawat itu yang diketahuinya merupakan harta curi," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.


Katanya, berdasarkan keterangan-keterangan saksi dan dokumen-dokumen yang sedia ada beliau mengarahkan pertuduhan dibuat terhadap anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat berkenaan.

Abdul Gani berkata jika sabit kesalahan, anggota tentera itu boleh dihukum bawah seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, manakala bagi kesalahan menolong melupuskan harta curi pengarah syarikat itu boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Akhbar baru-baru ini mendedahkan kehilangan dua enjin itu pada 2007 ketika dibawa keluar dari Pangkalan Skuadron 12 Scorpion di Butterworth, Pulau Pinang untuk penyelenggaraan rutin di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Bagaimanapun kehilangan enjin jet itu hanya disedari oleh tentera pada 22 Mei 2008, diikuti siasatan segera sebelum laporan polis dibuat pada 4 Ogos tahun yang sama.

Enjin jet pejuang itu dipercayai dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Selatan.

- Bernama

malaysiakini

No comments:

Post a Comment