Wednesday, April 29, 2009

Baik punya cadangan!!! Rais Yatim dan Jamil Khir???

Kementerian Penerangan perlu peka dengan rancangan hiburan


SAYA yakin dan percaya rakyat Malaysia masih terkejut dengan aksi berani Bintang Paling Popular 2008, Nabil apabila beliau memeluk kekasihnya Irma Hasmi di khalayak ramai yang mana siarannya ditonton jutaan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur daripada anak-anak kecil sehinggalah orang dewasa secara langsung di kaca televisyen melalui Anugerah BIntang Popular- Berita Harian 2008. Alasan yang diberikan oleh beliau adalah beliau terlampau terkejut dengan kemenangan yang diraihnya dan itu merupakan aksi spontan dan beliau menyatakan itu adalah kali pertama beliau berperangai sedemikian. Saya tidak berminat untuk tahu adakah itu kali pertama beliau memeluk kekasihnya atau tidak, tetapi saya yakin dan percaya, rakyat Malaysia yang masih menghormati adat dan tata susila dan berpegang teguh kepada ajaran agama Islam dan budaya masyarakat Timur sukar menerima perbuatan Nabil yang keterlaluan.

Bukan sahaja perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak, bahkan merupakan perbuatan yang menggambarkan betapa masyarakat Malaysia hari ini terutamanya dalam kelompok mereka yang bergelar artis begitu mengambil mudah dan memandang ringan apa yang dipandang serius oleh masyarakat umum.

Selang beberapa minggu, satu lagi aksi 'berani mati' telah ditunjukkan oleh bekas pelajar Akademi Fantasia 7, Aril yang tersingkir pada konsert minggu ketujuh dengan memeluk tenaga pengajar wanita Akademi Fantasia iaitu Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar dan Shafi dan rancangan itu juga ditonton oleh penonton yang terdiri daripada latar belakang masyarakat yang pelbagai khususnya kanak-kanak.

Alasan yang diberikan, Aril menganggap cikgu-cikgunya di Akademi sebagai ibunya sendiri dan pelukan itu merupakan tanda hormat. Saya berasa sedih dengan alasan yang diberikan kerana tidak bolehkan Aril hanya mencium tangan bagi menunjukkan rasa hormat terhadap orang yang dianggap berjasa kepadanya? Kenapa perlu memeluk dengan erat dan bersungguh-sungguh?

Saya amat yakin dan percaya, anak-anak kecil yang menonton rancangan tersebut telah mula ditanam dengan aksi-aksi berani dan perkara-perkara tidak mustahil mendorong mereka untuk berkelakuan demikian dan seterusnya tidak mustahil boleh menyumbang kepada keruntuhan moral di kalangan orang muda di negara kita.

Satu persoalan yang bermain di kotak fikiran saya ialah, tidakkah Kementerian Penerangan peka dengan apa yang berlaku? Tidakkah Kementerian Penerangan mempunyai garis panduan berhubung had dan batasan penyiaran rancangan hiburan di Malaysia? Tidakkah ada tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang melampaui batas kesopanan an tata susila masyarat Malaysia?Bukankah tindakan juga boleh diambil kepada stesen-stesen TV yang berkenaan?

Saya menyeru agar Kementerian Penerangan duduk semeja dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam bagi menyediakan satu garis panduan khusus tentang perkara ini jika belum ada dan jika sudah ada, pihak Kementerian perlu menguatkuasakannya.

Jangan sampai timbul kes ketiga, keempat atau kelima yang menyaksikan sesiapa sahaja yang namanya lelaki memeluk wanita yang bukan muhrimnya di khalayak ramai kerana perkara ini bukan sahaja mencemarkan budaya dan adat Melayu, malah boleh merosakkan pemikiran anak-anak kecil yang menonton rancangan-rancangan seumpama itu.

HANIF MOHSEIN BIN MOHD. FAUZI NO. 2 , JALAN 10/2 TAMAN PUTRA

artikel asal : http://mstar.com.my/

No comments:

Post a Comment