Friday, December 11, 2009

Nik Aziz : Naik mas kahwin tambah anak dara tua

“Sayapun mengenakan tidak lebih RM1,000 bagi mas kahwin (yang termasuk hantaran) setiap anak saya sejak dulu,”


KOTA BARU, Dis 11 — Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju kadar mas kahwin dinaikkan kerana ialah boleh mengundang kepada ramai gadis menjadi anak dara tua.

“Kita tidak bercadang menaikkan kadar mas kahwin di Kelantan dan mahu mengekalkan peraturan sedia ada,” kata beliau selepas menyampaikan kuliah Jumaat di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan Selangor menaikkan kadar mas kahwin di negeri itu daripada RM80 kepada RM300 berkuat kuasa Jan 1 depan.

Dipetik Bernama, Nik Abdul Aziz berkata beliau sudah lama mengamalkan langkah tidak mengambil berat mengenai mas kahwin termasuk yang membabitkan perkahwinan anak-anaknya sendiri.

“Sayapun mengenakan tidak lebih RM1,000 bagi mas kahwin (yang termasuk hantaran) setiap anak saya sejak dulu,” katanya.

Menurutnya langkah mengenakan mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi lebih bersifat riak dan menunjuk-nunjuk.

Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan tidak menetapkan jumlah tertentu berhubung kadar mas kahwin bagi pasangan yang ingin berumah tangga di negeri itu.

Semalam Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata mulai bulan depan kadar mas kahwin di Selangor ditetapkan sebanyak RM300 berbanding kadar semasa iaitu antara RM40 dan RM80 yang dilaksanakan sejak tahun 1978.

Beliau berkata kadar baru itu dikuatkuasakan setelah mengkaji beberapa perkembangan semasa termasuk menyeragamkan jumlah mas kahwin kepada wanita tanpa mengira status mereka seperti sebelum ini.

“Sebelum ini kita tetapkan mas kahwin bagi anak dara ialah RM80 manakala RM40 bagi yang berstatus janda.

“Saya yakin dengan kadar baru ini ia lebih memuliakan kedudukan wanita tanpa mengira status,” katanya.

themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment