Thursday, July 2, 2009

Polis nanti 3 siswa diburu balik ke UM

Polis akan menjejaki tiga lagi pelajar Universiti Malaya (UM) yang sedang diburu untuk membantu siasatan kes menconteng dan dakwaan percubaan membakar dewan di Akademi Pengajian Islam UM apabila mereka menyambung pengajian dalam semester baru mulai bulan depan.

"Kita tunggu sehingga mereka masuk UM, mereka mesti masuk (untuk) mendaftar (bagi semester baru)," kata pegawai penyiasat kes tersebut, Inspektor Mohd Najeeb Mohd Esam dari ibupejabat polis Brickfields.

Ketiga-tiga pelajar tersebut dikehendaki oleh pihak polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Najeeb menasihatkan ketiga-tiga mereka menyerah diri dan bekerjsama dengan kepada pihak polis bagi memudahkan siasatan kes tersebut.


Selasa lalu, dua pelajar Akademi Pengajian Isalam UM - Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli juga dihadapkan bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Tiga klip video

Mereka didakwa menconteng perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Selain menconteng, mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani merah beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Kedua-duanya masing-masing dibenarkan ikatjamin RM5,000 dan kes mereka akan disebut semula pada 13 Julai ini.

Manakala tiga pelajar yang sedang dicari polis itu dikenali sebagai Munir, Saufi dan Aizat.

Walaupun enggan memberikan nama penuh mereka, polis dipercayai mencari presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani - kedua-duanya dipercayai pelajar akademi Islam.

Sementara itu, label "puaka" dipercayai ada kaitan dengan tiga klip video di internet yang melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk melupakan adik angkat dan anak sendiri, selain kampung halamannya. Rosmah atau Najib setakat ini belum memberikan sebarang ulasan.

Bagaimanapun beberapa laman web pro-Umno menafikannya. Malaysia Instinct mendakwa bercakap dengan Rosmah dan beliau menafikan pernah mengabaikan anaknya Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment