Monday, June 29, 2009

Rayuan Kes Liwat Anwar Ditangguh Esok

Rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya kes liwat yang dihadapinya
dibicarakan di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan esok bagi membolehkan Anwar menghadiri sidang Parlimen.

Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdull Hamid Embong, bersama panel Hakim Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffery Tan Kok Wha, menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam utama, Sulaiman Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Sulaiman berkata Anwar perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi membolehkan beliau menyertai perbahasan Kod Etika Hakim, yang dijadual dibentangkan hari ini.

Pihak pendakwaan, yang diketuai Peguam Cara Negara II Datuk Yusof Zainal Abiden tiada bantahan terhadap penangguhan itu, membolehkan kedua-dua pihak

mengemukakan hujahan bertulis dan dokumen-dokumen tertentu kepada mahkamah.

Mahkamah pada mulanya dijadual mendengar rayuan Anwar hari ini, lapor Bernama.


Anwar, yang hadir di mahkamah, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mac lalu, yang menukar keputusan Mahkamah Sesyen yang mengekalkan perbicaraan kes liwat di Mahkamah Sesyen.

Anwar mencabar kesahihan sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, mendakwa Abdul Gani tidak boleh menandatangani
dokumen itu kerana beliau masih disiasat Badan Pencegah Rasuah yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan polis Anwar mengenai insiden "kes mata lebam".

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lalu.

Perbicaran kes itu ditetapkan pada 8 Julai dihadapan Hakim Mohamad Zabidin.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment