Friday, June 19, 2009

PAS Umum Calon Manek Urai 26 Jun

PAS akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 26 Jun ini.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Mohd Nasir Daud berkata, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membuat pengumuman tersebut.

"Insya-Allah kita akan umumkan di kawasan DUN Manek Urai lama. Kita nantikan sahaja bila tiba masanya, PAS akan umumkan juga calonnya," kata Nasir.

Nasir berkata, senarai nama calon sedang dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan peringkat negeri sebelum diperakukan oleh pimpinan tertinggi PAS pusat.

"Kita (PAS) telah panggil tujuh orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Harian PAS daripada 29 cawangan di kawasan Manek Urai. Setiap seorang daripada mereka dikehendaki menyenaraikan tiga nama calon yang dirasakan sesuai.

Nama-nama yang dipilih itu akan dinilai oleh jawatankuasa pemilihan PAS peringkat negeri. Ini cara kita (PAS) mendapatkan maklum balas daripada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau juga menambah, calon yang bakal dipilih tidak semestinya orang tempatan.

"Yang penting dia (calon) boleh menang dan disukai rakyat. Pimpinan pusat akan mengutamakan faktor-faktor ini untuk memilih calon yang sesuai, " tambah beliau.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini dan penamaan calon pada 6 Julai.

Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya (penyakit gout, kencing manis).

Beliau memenangi Dun Manek Urai buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 dan mengekalkannya untuk lima penggal berturut-turut.

DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang juga disandang oleh PAS.

TVA

No comments:

Post a Comment