Tuesday, May 12, 2009

SMS UGUTAN : AHMAD RAMZI HADIR BERI KETERANGAN

Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir - bekas setiausaha politik mantan menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh - hadir di ibupejabat polis Kuala Terengganu hari ini untuk memberi keterangan berhubung SMS ugutan kepada tiga ADUN Terengganu bulan lepas.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Mohd Jamil dilaporkan berkata polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap Dr Ahmad Ramzi walaupun diberikan tempoh 72 jam untuk berbuat demikian.

Dr Ramzi dicari polis kerana beliau antara individu yang pernah mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung SMS ugutan yang diterima tiga ADUN Umno Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) pada 13 April lepas.

Sebelum ini, polis cuba mengesannya di kediaman beliau di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur tetapi gagal.

Mesej ringkas itu kemudian dijadikan alasan mereka bertiga dan tujuh lagi ADUN Umno enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu keesokannya.

Dalam siasatannya, polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun dari Seri Kembangan, Selangor, di Bandar Baru Bangi pada 20 April lepas, kerana disyaki menghantar SMS itu.

Lelaki itu dibebaskan setelah ditahan reman selama tujuh hari.

Sebelum ini dilaporkan polis telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi berhubung kes itu dan hanya menunggu Ahmad Ramzi untuk tampil memberi keterangan.

artikel asal : malaysiakini

No comments:

Post a Comment