Friday, May 22, 2009

POLIS TIDAK DAKWA 5 PEGUAM

Tiada sebarang dakwaan akan dikenakan terhadap lima peguam dan 15 orang lagi yang ditahan pada 7 Mei lalu kerana didakwa menyertai perhimpunan haram, demikian menurut polis hari ini.
Mereka dimaklumkan mengenai perkara itu ketika hadir melapor diri di ibu pejabat polis daerah Brickfields pagi ini.

Lima peguam itu - Fadiah Nadwa Fikri, Syuhaini Safwan, Puspawati Rosman, Ravinder Singh dan Murnie Hidayah Anuar - ditahan ketika cuba memberi bantuan guaman kepada kumpulan 14 orang yang ditahan mengadakan bantahan di depan balai tersebut.

Mereka, tidak termasuk seorang lagi yang ditahan bersama kumpulan peguam tersebut, ditahan sewaktu menyertai perhimpunan nyalaan lilin sebagai tanda sokongan kepada jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chun Huat.

Wong, juga pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami), direman bawah Akta Hasutan di balai tersebut selepas menyeru orang ramai berpakaian hitam pada hari persidangan DUN Perak, 7 Mei lalu.

Pagi ini, peguam terbabit - kecuali Puspawati yang mengendalikan kes di Shah Alam - tiba di balai polis berkenaan kira-kira jam 10.10 pagi.

Mereka ditemani peguam masing-masing: Latheefa Koya, N Surendran dan Lim Chee Wei. Kira-kira 20 orang peguam lagi turut hadir untuk memberi sokongan.

Turut hadir 20 orang awam, termasuk 15 yang ditahan pada hari sama dengan lima peguam terbabit.

Bagaimanapun, polis memaklumkan bahawa mereka tidak akan didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Akta Polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberitahu media bahawa beliau terkejut melihat kehadiran peguam dan 15 orang terbabit di balai polis hari ini, kerana mereka telah dimaklum mengenai keputusan tersebut semalam.

Menurutnya, pihak polis telah memaklumkan keputusan itu kepada peguam M Puravalen yang mewakili mereka yang ditahan.

Lima peguam tersebut - semuanya anggota pusat bantuan guaman Majlis Peguam Kuala Lumpur - ditahan semalaman di lokap balai tersebut sehingga mencetuskan bantahan keras daripada badan profesional tersebut.

Majlis Peguam, yang mewakili lebih 13,000 peguam di Semenanjung Malaysia, menuntut supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan.

No comments:

Post a Comment