Saturday, May 23, 2009

Penanti: PKR Hadapi Saingan Empat Calon Bebas

Calon Parti Keadilan Rakyat Mansor Othman akan menghadapi saingan empat calon bebas pada pilihanraya kecil Penanti 31 Mei ini.

Antara yang mengemukakan kertas pencalonan pagi tadi ialah Kamarul Ramizu Idris - calon bebas yang hilang pertaruhan pada pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak bulan lalu.

Tiga lagi calon bebas adalah bekas pemimpin Gerakan, Nai Khan Ari, bekas pemimpin Wanita PKR Negeri Aminah Abdullah dan Mohd Saberi Othman.

Jika tiada kertas pencalonan ditolak, kelima-lima calon berkenaan akan bertarung untuk kerusi DUN Penanti, tanpa saingan Barisan Nasional yang mengambil keputusan tidak bertanding setelah kalah pada kesemua empat pilihanraya kecil di Semenanjung sejak Mac tahun lalu.

Tokoh-tokoh kanan PKR termasuk Ketua Umum Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului ribuan penyokong Pakatan untuk mengiringi Mansor ke pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara.

Turut hadir Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang menerima tepukan gemuruh diiringi laungan "Bubar DUN Perak" oleh penyokong Pakatan Rakyat.

Mansor, 59 tahun, mempertahankan kerusi Penanti yang dimenangi oleh PKR pada pilihanraya umum Mac lalu. Penanti adalah satu daripada tiga DUN bawah Parlimen Permatang Pauh.

Kerusi Penanti kosong setelah wakil rakyat PKR Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatan itu kerana menyambung belajar di luar negara. Beliau juga disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung operasi kuari di Pulau Pinang.

Namun SPRM kemudian mengisthiarkan tidak wujud bukti kukuh berlakunya salah guna kuasa atau rasuah terhadap bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang itu.

artikel asal : TVAntara

No comments:

Post a Comment