Tuesday, May 19, 2009

"Budaya Arahan Pihak Atasan Dalam Menentukan Berita Yang Disiar Atau Tidak Masih Berlaku", Tan Sri Khalid Ibrahim

Akta Cetak & Penerbitan, OSA Punca Indeks Kebebasan Akhbar Negara Corot


Pengekalan Akta Cetak dan Penerbitan serta Akta Rahsia Rasmi dikenalpasti antara sebab kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar antarabangsa merundum daripada tangga 92 pada 2006 kepada 132 tahun lepas.

Malah kedudukan negara berada pada trend menurun pada 2007 apabila Malaysia jatuh ke tangga 124 dalam indeks kelolaan Kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan.

Berucap pada Hari Kebebasan Akhbar 2009 Peringkat Negeri Selangor, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata penurunan dalam indeks tersebut adalah sesuatun yang merisaukan terutamanya bagi sebuah negara yang mengwar-warkan sebagai pengamal demokrasi.

"Masalah lain yang menghalang perjalanan media yang lebih lancar, tidak lain, pemilikan media itu sendiri. Dengan adanya konglomerat yang memiliki akhbar-akhbar arus perdana, yang kebanyakannya menjadi rakan pemimpin kerajaan
persekutuan, maka ternyata amat sukar untuk menghasilkan media yang dianggap bebas daripada kepentingan politik.

"Malahan budaya arahan pihak atasan dalam hal menentukan berita yang boleh disiar atau tidak masih berlaku hingga ke hari ini," beliau berkata majlis yang turut dihadiri oleh beberapa exco, pemimpin politik, pengamal media dan wakil-wakil badan bukan kerajaan.

Sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar kerajaan negeri Selangor juga menganjurkan Forum Kebebasan Maklumat: Hak Untuk Memiliki yang memberi tumpuan kepada isu hak warganegara memiliki dan mengetahui maklumat seberapa banyak yang mereka kehendaki.

"Hanya dilengkapi dengan pelbagai maklumat barulah setiap warganegara mampu membuat keputusan atau tanggapan yang terbaik terhadap isu-isu yang melibatkan orang awam.

"Ini termasuk mengundi untuk pentadbiran kerajan, menyokong dasar tertentu atau sekadar untuk melilih jiran yang baik menjadi ahli majlis di peringkat Majlis Tempatan," tambah Khalid lagi.

Jelas beliau dasar Pakatan Rakyat menyokong hak setiap warganegara mendapat akses kepada maklmat yang diperlukan dan sehubungan itu gagasan tersebut telah menubuhkan Badan Bertindak Kebebasan Maklumat yang anggotanya terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri dan orang awam.

Badan tersebut kata Khalid akan memastikan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat dibentangkan dan diluluskan semasa sidang Dewan pada hujung tahun ini.

Sambutan itu juga menyaksikan pelancaran TV Selangor yang bakal menjadi landasan bagi menyebarluarkan penerangan dan pemahaman rakyat mengenai semua dasar dan program kerajaan negeri.

"Kebebasan media penyiaran juga agak terbatas sehingga mendorong kita untuk melancarkan TV Selangor iaitu cabang baru media dalam strategi komunikasi kita.

"TV Selangor menjadi wadah penyiaran mesyuarat Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan siaran langsung pendengaran awam (Selcat) dan saya difahamkan merupakan saluran paling popular pada minggu berkenaan," kata Khalid lagi.

Serentak dengan pelancaran TV Selangor, Khalid juga melancarkan Selangor Kini yang merupakan terbitan kerajaan negeri bagi menyalur maklumat yang tepat dan betul kepada rakyat.

artikel asal : TVAntara

No comments:

Post a Comment