Thursday, April 30, 2009

Boikot media: Mencabar kebebasan atau membantah ketidaktelusannya?

Apabila kerajaan negeri Pulau Pinang menghalang wartawan sebuah syarikat akhbar daripada membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini, reaksi diberikan masyarakat umum agak pelbagai.

Sebahagian mereka melihat rasional di sebalik tindakan kerajaan Pakatan Rakyat itu. Apatah lagi dimaklumkan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peranan dimainkan media terbabit dalam memburukkan kerajaan negeri.

Beberapa laporan dan sorotan dibuat akhbar itu sebelum ini membabitkan isu-isu pemerintahan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dikatakan amat menyimpang daripada kebenaran. Ia malah dianggap mengandungi unsur-unsur putar belit yang berniat serong disulami kepentingan parti pemerintah negara.

Satu pihak lain mempertikaikan ketelusan kerajaan Pakatan Rakyat atas larangan itu. Malah mereka beranggapan tindakan menghalang wartawan akhbar terbabit menyertai rakan mereka membuat liputan persidangan itu amat bertentangan dengan prinsip kebebasan media.

Antara mereka, ada yang menyoal, bukankah selama ini para pemimpin Pakatan Rakyat yang menjadi juara memperjuangkan prinsip kebebasan itu? Ke manakah perginya prinsip diperjuangkan itu dalam kes ini?

Ekoran pertembungan tanggapan itu, timbul pula persoalan lain. Apakah motif dan alasan sebenar di sebalik tindakan memboikot media tersebut? Apakah tindakan itu pula boleh dianggap mencabar kebebasan media, atau ia sebenarnya satu menifestasi rasa kecewa terhadap sikap tidak bertanggungjawab agensi media terbabit dalam laporan-laporannya?

Persoalan-persoalan itu akan segera mengingatkan kita kepada beberapa siri pemboikotan media yang pernah terjadi sebelum ini. Seingat kita, PAS adalah antara parti paling kerap melancarkan boikot terhadap media ini.

Pernah suatu ketika lebih dua dekad lalu, parti itu bermuktamar tanpa sebarang liputan media. Parti itu mengharamkan terus semua wartawan, termasuk dari akhbar-akhbar nyamuk daripada mengikuti perjalanan persidangan tahunan itu.

Malah ada sebuah akhbar Inggeris yang terlalu kecewa tidak dapat mengeksploitasi isu-isu sepanjang muktamar itu mengubah istilahnya sebagai ?mute-tamar? bagi menggambarkan 'kebisuan' perjalanan persidangan itu dari sebarang liputan media.

Kemudian ada pula pemboikotan lebih terpencil. Pada 16 Mei 1999, sekumpulan ahli PAS di Durian Daun, Melaka mendapat perhatian media apabila melakukan upacara pengebumian terhadap beberapa akhbar tempatan. Mereka menggali lubang dan 'menguburkan' naskhah akhbar tertentu disaksikan orang awam.

Sejurus selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-10 menyusul pula pemboikotan media lebih meluas oleh parti-parti pembangkang. Pada 1 Februari 2000, mereka sepakat mengumumkan memboikot akhbar-akhbar Utusan Malaysia, New Straits Times dan stesen televisyen TV3.

Ketiga-tiga kumpulan media ini didakwa secara sengaja dan bersangatan memutar belitkan fakta dan menggunakan cara mengancam serta menggertak untuk memaksa para pengundi supaya mengundi parti kerajaan yang berkuasa (Barisan Nasional).

"Islam telah digambarkan sebagai agama yang zalim dan undang-undang Islam digambarkan sebagai bersifat primitif dan liar. Media tersebut juga menakut-nakutkan rakyat dengan membuat ramalan bahawa rusuhan dan sengketa kaum akan tercetus ? sama seperti yang terjadi 30 tahun lalu pada tahun 1969 ? jika kerajaan yang ada gagal mempertahankan kelebihan suara dua pertiga," baca risalah boikot media dikeluarkan parti pembangkang.

Menurut risalah itu lagi, tujuan utama pemboikotan itu ialah lebih merupakan satu proses 'pendidikan politik demokrasi' terhadap rakyat negara ini.

Dalam konteks politik, media adalah salah satu institusi sosial paling penting dalam sistem pemerintahan demokrasi. Ia memungkinkan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan sepenuhnya untuk mereka dapat membuat pilihan yang saksama antara pelbagai parti yang menawarkan pelbagai dasar dan pendekatan.

Selaku pemilih, rakyat ada hak mendapatkan maklumat yang benar dan tepat mengenai sesuatu perkara atau pihak. Maka peranan media ialah melaporkan secara telus, adil dan bertanggungjawab.

Kegagalan sebilangan media arus perdana memainkan peranan secara bertanggungjawab menyebabkan timbul rasa kecewa di kalangan rakyat. Apatah lagi ada ketikanya mereka dijadikan mangsa dan sasaran putar belit media berkenaan.

Media yang sepatutnya menjadi suara hati nurani rakyat sebaliknya menjadi tali barut dalam kegiatan mengancam rakyat dan mengeruhkan keadaan. Media yang dikuasai kerajaan itu tidak lagi menjadi sumber maklumat yang bertanggungjawab dan berwibawa. Sebaliknya ia lebih terjelma sebagai alat propaganda dan saraf untuk parti pemerintah.

Bertolak daripada hakikat itu, pemboikotan media tertentu oleh parti-parti politik tertentu ada asasnya. Ia mungkin sedikit terbabas dari landasan perjuangan kebebasan media. Namun isu utama di situ bukannya mencabar kebebasan, tetapi lebih kepada membantah ketidak telusan dan pencabulan etika kewartawanan diamalkan media terbabit.

artikel asal : HarakahDaily

No comments:

Post a Comment