Tuesday, April 20, 2010

PAS dakwa majoriti mantan PM minum arak

Jimadie Shah Othman
Apr 20, 10 3:12pm


BN digesa menghentikan serangan peribadi terhadap calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim - dengan terus mengaitkannya dengan isu minum arak - kerana perkara tersebut "melampau batas" dan menjadi budaya dalam Umno, parti terasnya sendiri.

Menyifatkan kempen sebegitu sebagai "tiada kelas", Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali mendakwa, semua perdana menteri Malaysia - kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi - terlibat dengan pengambilan minuman beralkohol.

"Tak ada seorang pun daripada mereka itu yang tak pernah minum arak, kecuali (Abdullah) Badawi. Pak Lah saya akui, yang saya tahu, tak minum arak.

"Tetapi empat yang lain ini semua terlibat. Ada yang saya tengok dengan mata saya sendiri terlibat," katanya yang juga bekas pengarah pilihan raya pusat PAS.

Bercakap dalam sidang media di pejabat agung parti itu di ibu negara tengah hari ini, Mustafa turut mendakwa, selain meminum arak, tiada pemimpin utama Umno yang bebas daripada tiga lagi "dosa", iaitu "rasuah, judi dan perempuan."

"Kadangkala empat (dosa) sekali gus ada pada seorang," katanya yang mengaku mengetahuinya kerana pernah berada dalam kerajaan ketika parti itu bergabung dalam BN sekitar tahun 70-an.

Bagaimanapun, Mustafa memberi jaminan, PAS tidak akan mengikut rentak parti lawan dengan mengambil pendekatan yang sama kerana strategi tersebut "orang PAS tidak pernah buat".

"Tidak, tidak, tidak. Maknanya nak beri tahu, kalau PAS nak main isu ini, dah lama dulu PAS boleh main. Tetapi PAS tak buat, kita jaga etika.

"Tetapi saya nak bagi tahu, kamu (Umno) main isu Zaid ini, kalau kita (PAS) hendak main, kita boleh sebut.

"Ini apa yang kamu buat dulu, sekarang pun kamu masih terus (terlibat)," katanya ketika disoal sama ada PAS akan mengikut rentak yang sama dengan Umno selepas ini.

Ditanya sama ada PAS mahu menjadikan isu tersebut sebagai "peluru terakhir" dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor kali ini, Mustafa sambil ketawa berkata:

"Tengoklah kalau (mereka) agas (sombong) sangat."

Katanya, isu melibatkan peribadi silam Zaid sengaja dimainkan Umno kerana parti itu tidak mempunyai sebarang lagi itu untuk "memukul" Zaid.

Presiden UMNO rasmi Kilang Guiness Stout

malaysiakini

PARTI NASIONAL SARAWAK MENYERTAI PR

karangan ~PakKaramu~ on 4/20/2010

Salam

Al Hamdulillah ! Walaupun di semenanjung agak ramai melompat jadi katak akan tetapi di Sarawak lain pula jadinya, mereka dari parti Nasional Sarawak (SNAP) telah menyertai pula ke dalam Pakatan Rakyat, bukan sekadar orangnya sahaja akan tetapi dengan parti-partinya sekali, inilah kuasa Tuhan, kalau orang melayu tidak mahu kepada jalan yang benar maka orang Sarawak sudah nampak apa yang mereka kaji betul dan benar

Sekarang apa khabar orang Semenanjung ! Bukankah Sabah dan Sarawak yang menyebabkan BN/UMNO masih kekal berkuasa ? Nah Sekarang orang Sarawak akan menjadi perintis memulakan rakyat Sarawak menyertai Pakatan Rakyat kemudian ada lagi ura-ura yang lain akan menyusul Op .....!! terkeluar pula rahsia ni nasib baik tak sebut


Snap secara rasmi sertai Pakatan Rakyat

"Menteri itu 'bermulut besar' dan ini bukan kali pertama beliau membuat kenyataan yang tidak bertanggung-jawab itu.”





Inkues Teoh : Karpal kata Nazri 'kurang ajar'

Apr 20, 10 11:51am

Inkues Teoh Beng Hock bersambung hari ini dengan peguam Karpal Singh menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz sebagai “kurang ajar” kerana melabelkan pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand 'pembohong'.

Karpal (kiri, berkerusi roda), yang mewakili keluarga Teoh, minggu lalu mengemukakan permohonan bagi mendakwa Nazri menghina mahkamah berhubung kenyataannya itu.

"Ini adalah kesalahan yang serius kerana beliau cuba campur tangan dan pelaksanaan keadilan,” Karpal memberitahu inkues.

"Menteri itu 'bermulut besar' dan ini bukan kali pertama beliau membuat kenyataan yang tidak bertanggung-jawab itu.”

Semasa disoal di Dewan Rakyat, semalam, Nazri bertegas mempertahankan kenyataannya itu.

Kornoner Azmil Muntapha Abas akan memutuskan pada 26 April ini sama ada akan mendengar permohonan Karpal bagi mendakwa Nazri atas tuduhan menghina mahkamah.

Pada perbicaraan hari ini, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor memaklumkan inkues bahawa pihaknya telah menulis surat kepada Kementerian Undang-undang Thailand pada 13 April lalu memohon kehadiran Pornthip bagi memberi keterangan.

Inkues juga dimaklumkan bahawa Kementerian Undang-undang Thailand telah memberitahu kerajaan Selangor dalam sepucuk surat bertarikh 8 April yang Pornthip tidak dapat hadir kerana sibuk dengan tugasan lain.

Bagaimanapun kerajaan Selangor belum menerima surat itu.

Menurut Malik, beliau juga tidak dapat mengesahkan sebab sebenar Pornthip tidak dapat hadir memberi keterangan.

Pada 11 April lalu, Pornthip (kiri) berkata dia tidak akan hadir memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock apabila ia bersambung semula kerana 'tekanan politik' dari kerajaan Malaysia.

Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

Hari ini juga menandakan ulang tahun ke-31 Teoh jika beliau masih hidup.

Di luar perkarangan mahkamah, pemuda DAP juga menghadiahkan keluarga Teoh dengan kek dan bunga bagi meraikan sambutan itu mengikut tradi masyarakat Cina.

Nazri : Dr Pornthip 'pembohong'

malaysiakini

Nik Aziz sokong Zaid

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi sokongan penuh kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor 25 April ini.

Nik Aziz yang kini sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah dikatakan beberapa kali berhubung dengan Zaid termasuk semasa hari penamaan calon Sabtu lalu bagi menyatakan sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, Menteri Besar Kelantan itu sentiasa mengambil berat perkembangan di Hulu Selangor termasuk menghubungi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetahui situasi yang berlaku.

“Semalam (kelmarin) Tok Guru ada bertanyakan perkembangan (Hulu Selangor), beliau juga ada bercakap dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, (malah) semasa hari penamaan calon Tok Guru ada berhubung dengan Zaid dan yang terbaru dua hari lepas, dia beri sokongan penuh kepada Zaid, “katanya.

Husam yang juga Exco Kanan Kerajaan Kelantan berkata demikian ketika ditemui semasa menyampaikan kunci kepada kedai pejabat Fasa 1A, Bandar Baru Tunjung, di sini semalam.

Zaid, bekas Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu pernah mengemukakan petisyen di Mahkamah Persekutuan Untuk mendapatkan deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah(11) 1993, Negeri Kelantan yang melibatkan peruntukkan perundangan jenayah seperti Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Kelantan yang meluluskan enakmen itu kerana ia bercanggahan dengan Perkara 74 dan 8, serta Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada yang sama, Zaid kini berdepan dengan beberapa isu moral termasuk cabaran bersumpah untuk membersihkan namanya yang didakwa sebagai peminum arak tegar.

Dalam pada itu Husam berkata, Nik Aziz yang dijangka pulang ke tanah air 21 April ini akan turun berkempen ke Hulu Selangor pada 23 April, dua hari selepas pulang dari Tanah Suci bagi membantu kemenangan Zaid.

Dalam masa yang sama, Husam mengecam sikap pemimpin UMNO yang menggunakan isu peribadi Zaid untuk berkempen bagi mendapat sokongan rakyat di Hulu Selangor.

“Sebelum ini UMNO pernah lantik Zaid sebagai calon di Parlimen Kota Bharu. Perdana Menteri juga pernah melantik beliau sebagai menteri. Kenapa mereka tak bangkitkan masalah-masalah Zaid itu tapi hanya sekarang baru nak dedahkan,” katanya.

SH

Kempen Cerca Peribadi, Umno-BN Meludah Ke Langit

HULU SELANGOR 10 Apr : Umno disifatkan sudah kehabisan modal apabila membuat serangan berbentuk peribadi kepada calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim.

Sejak diumumkan sebagai calon bagi pilihan raya itu, Umno semakin galak mencerca keperibadian silam bekas menteri itu dengan melabelkan beliau sebagai kaki botol dan sebagainya.

Tanpa disedari pimpinan Umno, serangan itu umpama meludah ke langit terkena muka sendiri. Ini kerana umum mengetahui ramai di kalangan pimpinan Umno bukanlah di kalangan mereka yang bermoral tinggi dan malah rata-rata mereka juga terdiri dari 'kaki minum'.

Zaid ikhlas dan tegas dalam menghadapi taktik kotor Umno itu. Beliau mengakui ketelanjuran silamnya itu dan menyatakan beliau sudah bertaubat sejak menunaikan Haji di Tanah Suci Mekah.

"Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah s.w.t. Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah," katanya kepada pemberita ketika diajukan soalan tersebut.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula percaya Zaid sudah banyak berubah dan tidak mengamalkan tabiat lamanya sejak beliau pulang dari Mekah dan menyertai Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Umno tidak wajar memainkan isu peribadi bagi memenangi pilihan raya itu memandangkan umum mengetahui kebanyakan pemimpin Umno sendiri dibelit dengan pelbagai isu moral.

Bagi Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh pula, Umno menggunakan taktik jahat dengan menyerang peribadi lampau calon Pakatan Rakyat, Zaid Ibrahim sehingga seolah-olah meletakkan hukum Allah di tangan mereka.

"Kita sebagai manusia harus tidak menghukum, kalau Allah pun boleh menerima taubat seseorang, kenapa Barisan Nasional menggunakan taktik kotor ini untuk membunuh karektor berasaskan masa lampau seseorang, dalam keadaan seseorang itu telah berubah?.

"Dia masuk dalam Pakatan Rakyat dia 'reform', kemudian dia pergi haji dia 'reform'. Ini merupakan taktik sangat kotor BN. Mereka patut rasa malu, Perdana Menteri Najib harus malu menggunakan taktik kotor begini. Dia patut bercakap apa yang mahu dilakukan untuk rakyat bukan bercakap tentang peribadi lampau seseorang yang telah berubah," tegas Fuziah.

tvselangor

Pemimpin Umno lebih teruk minum arak, berjudi

Nazri Abdullah

PETALING JAYA, 20 April : Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata pemimpin Umno juga ramai mengambil alkohol sepertinya dahulu namun tidak berniat untuk mengaibkan mereka.

Beliau sewaktu wawancara eksklusif bersama Harakah dan Harakahdaily semalam memberitahu, isu itu sengaja ditimbulkan pemimpin Umno/BN setelah beliau menyertai Pakatan Rakyat kerana mahu menjatuhkan karier politiknya. [LIHAT VIDEO]

"Saya berterus terang, itu dulu, dalam Umno pun ramai menteri-menteri macam saya dulu, tapi tidak menjadi isu pada waktu itu.

"Peribadi saya, karektor saya, Islam saya dipersoal setelah saya bersama-sama Pakatan Rakyat,” katanya yang juga pernah menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, apa yang berlaku itu adalah sejarah lampau yang sudah lama ditinggalkannya yang berbeza dengan sesetengah pemimpin Umno lain yang masih tidak dapat meninggalkan tabiat buruk itu.

"Saya manusia, dalam lumrah hidup kita adalah salah silap, tapi yang pentingnya apakah saya insaf dan sedar.

"Itulah beza saya dengan menteri Umno, saya berterus terang bukan hipokrit," tambahnya lagi.

Mengenai serangan peribadi oleh Umno terhadapnya, beliau menyerahkan kepada pengundi Hulu Selangor untuk menilai sikapnya setelah membuat pengakuan jujur sebelum ini.

Berhubung tuduhan bahawa beliau kaki judi pula, Zaid berkata semua tohmahan yang dilemparkan Umno itu tidak betul, sebaliknya perkara itu dilakukan pemimpin Umno.

"Kaki judi ini sebenarnya langsung tidak betul, yang berjudi besar sebenarnya di kasino-kasino adalah menteri-menteri Umno, berjuta-juta ringgit, hutang tak bayar, tidak ada apa-apa tindakan terhadap mereka.

"Tapi saya tak nak sebut dan tak nak aibkan mereka," jelasnya.

Sewaktu bertanding sebagai calon Umno/BN pada PRU 2004 di Kelantan, katanya, PAS sebagai parti lawan pada waktu itu langsung tidak menyentuh isu peribadinya biarpun parti Islam itu tahu latar belakang dirinya.

Tetapi pemimpin Umno kini sangat terdesak dan sangat takut sehingga terpaksa menggunakan taktik jahat menyerang peribadinya.

"Inilah budaya politik Umno sebenarnya, politik manusia yang takut kuasa mereka hilang.

"Inilah petanda mereka sedang cemas," katanya.

Zaid : Saya rela dikutuk untuk membela rakyat

tvpas09, Harakahdaily

Please note that kerangeleber's Facebook account was deactivated




Monday, April 19, 2010

Mengapa foto ini tidak disiarkan? Ini adalah kerana Iblis tidak suka melihat foto ini.
BETAPA jahat dan busuk serta Munafiknya mereka yang sengaja membawa kisah buruk calon Dato' Zaid. Dato' Zaid dengan jujur, berani dan insaf mengaku bahawa dahulunya ketika berada di dalam Umno bukan manusia yang bersih seperti Malaikat. Bahkan, tiada manusia yang boleh menjadi Malaikat suci dan bersih dari dosa. Cuma, manusia itu lebih mulia di sisi Allah apabila bertaubat dari melakukan dosa-dosa terdahulu.

Apabila seseorang manusia itu mengakui kesilapannya dan ingin menuju ke jalan yang benar, menjadi kewajipan kita membantu serta membimbingnya bukan mengutuk dan mancaci apatah lagi membuat fitnah yang berlebihan. Apakah kita ingin mengambil alih kerja Syaitan dan Iblis yang tidak suka manusia itu bertaubat?

Biar beribu foto yang disiarkan, biar beribu kisah aib yang dihebahkan dari mulut-mulut Syaitan dan Iblis ini yang dibantu oleh media berlidah Syaitan dan Iblis laknatullah, kita wajib membantu seorang insan ini yang mahu kembali ke pangkal jalan. Saya terharu dengan sokongan PAS kepada Dato' Zaid dan ini menggambarkan bahawa PAS akan sentiasa menyokong sesiapa sahaja yang sanggup berubah ke arah jalan agama. InsyaAllah, semakin kuat Syaitan dan Iblis ini menjaja keburukan Dato' Zaid, pasti Allah akan bersamanya.

Seandainya Dato' Zaid tewas sekalipun, beliau tetap menang di sisi Allah kerana orang yang menang itu sebenarnya adalah mereka yang sanggup meninggalkan dosa-dosa terdahulu. Bagaimana pula dengan puak mereka? Apakah mereka telah berubah? /wfauzdin.blogspot.com



Thursday, April 15, 2010

DAP wakil Pakatan Rakyat di Sibu

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 April : Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat petang tadi sebulat suara bersetuju bahawa calon DAP akan mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu kelak.

Bercakap pada suatu sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang, Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suatu mesyuarat khusus akan diadakan bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat Sarawak untuk menentukan calon terbaik.

"Atas semangat setiakawan, kita putuskan untuk letakkan calon di DAP di (Parlimen) Sibu kelak," ujarnya.

Menurut beliau, suatu mesyuarat khusus akan diadakan di Sarawak pada 18 April depan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh merakamkan penghargaan kepada kepemimpinan PAS dan DAP kerana menunjukkan muafakat yang begitu tinggi demi memenangkan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berharap semangat setiakawan tersebut boleh dilanjutkan di Sibu kelak.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kemudiannya menganggap Zaid merupakan pemimpin yang jujur kerana sanggup melepaskan jawatan menteri demi menyertai agenda perubahan bersama Pakatan Rakyat.

Dengan pengalaman dan kredibiliti yang ada pada Zaid, beliau melahirkan rasa yakin bahawa Zaid layak mewakili rakyat dari Parlimen Hulu Selangor ke Dewan Rakyat kelak.

Turut menyertai Anwar dan Abdul Hadi, Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Dr. Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR), Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS), Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS) dan Salahuddin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Idris Ahmad (Ketua Penerangan PAS).

Wednesday, April 14, 2010

Meng"kualiti"kan anggota PAS

http://episodeperjuangan.blogspot.com/

1. Anggota PAS terdiri dari ahli serta pemimpin dan ianya mempunyai peringkat atau marhalah yang berbeza dan pelbagai .

2. Sesuai sebagai anggota kepada sebuah Gerakan Islam , ahli dan pemimpinnya wajar memiliki :

* aqidah perjuangan yang mantap,
* fikrah Islamiyyah yang jelas
* syakhsiyyah [ akhlak ] yang soleh .

Inilah tahap kualiti yang paling minima mesti dimiliki oleh seluruh anggota PAS .

3. Mencapai tahap dan nilai Kualiti anggota PAS yang diperlukan tidak semudah mencari kuantiti . Melalui projek Jom Sertai PAS , PAS For All dan Orang Muda Geng Kita , saya dapati kuantiti cukup mudah untuk dicapai . Setiap bulan pasti ada anggota baru yang akan diluluskan keanggotaan mereka sebagai ahli PAS , malah kini keanggotaan PAS telah mula mencecah sejuta .

4. Apa yang merisaukan saya mutaakhir ini ialah berkait tahap kualiti anggota berdepan dengan kuantiti yang semakin meningkat . Tentu sahaja kemasukan anggota baru adalah dari pelbagai latar belakang dan tidak juga dapat dinafikan betapa kita juga berdepan dengan kemasukan anggota yang mempunyai pelbagai tujuan [ objektif ] yang ingin mereka capai melalui penyertaan mereka dengan PAS .

5. Justeru itu Gerakan Islam membahaskan persoalan intima' [ penggabungan atau penglibatan dan penyertaan ] sebagaimana yang telah dikupas panjang lebar oleh al marhum Ustaz Said Hawwa di dalam kitabnya Jundullah . Intima' yang diterima dan layak untuk sebuah Gerakan Islam seperti PAS ialah intima' al Aqidi iaitu penyertaan berasaskan aqidah perjuangan.

6. Pun begitu sebagaimana yang telah saya katakan tadi bahawa PAS sebagai sebuah pertubuhan yang terbuka kini menerima pelbagai latar belakang penyertaan anggota sekalipun tidaklah berasaskan aqidah . Kemungkinan ..............

Ada yang menyertai PAS kerana terlalu marah dan bencikan UMNO dan BN .
Ada yang menyertai PAS kerana melihat PAS sudah mulai kuat dan menang .
Ada yang menyertai PAS kerana mahu menonjolkan diri sebagai pejuang yang hebat.
Ada yang menyertai PAS kerana nak jadi calon pilihanraya .
Ada yang menyertai PAS kerana kecenderungan hatinya yang minat kepada PAS
Ada yang menyertai PAS tanpa mengetahui apakah sebab dan kerananya .....

7. Maka kualiti yang kita harapkan bahkan kualiti yang Rasulullah saw tuntut ialah anggota yang menyertai Gerakan Perjuangan Islam ini hanya untuk meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi yang dicipta oleh manusia . Samaada menang untuk mendaulatkan syariat dan syiar agama Allah swt ataupun mati sebagai syuhada' yang telah mempertaruhkan segala kepentingan diri , darah dan nyawanya untuk Islam .

8. Kita menerima dan mendekati semua orang sesuai dengan slogan kita PAS For All , namun setelah mereka menyertai PAS , kita bertanggungjawab untuk memastikan setiap anggota PAS [ baru atau lama ] menjadi anggota yang berkualiti menepati piawaian sebuah Gerakan Islam dimana anggotanya ialah bertaraf Ansoorullah [ pejuang agama Allah ] . Justeru itu , proses memberi kefahaman , pentarbiyyahan dan pengkaderan menjadi tugas asas dan paling utama bagi PAS di sepanjang perjuangannya .

9. Lajnah Tarbiyyah , Lajnah Pemerkasaan Parti , Akademi Kepimpinan Pemuda dan seluruh lajnah serta jabatan yang wujud dalam PAS sewajarnya sibuk mengatur aktiviti masing - masing guna menepati objektif perjuangan suci ini serta melahirkan anggota yang berkualiti . Melahirkan anggota yang berkualiti tinggi adalah keutamaan kita berbanding meningkatkan rating kuantiti tanpa menafikan bahawa kita juga perlukan keanggotaan yang ramai .

10. Satu mekanisme yang boleh saya cadangkan di sini untuk memastikan usaha melahirkan anggota yang berkualiti dalam sistem keahlian terbuka ini bermula dengan mengemaskini sistem penyerahan sijil keanggotaan setelah ianya diluluskan oleh parti .

11. Sijil itu hendaklah dihantar kepada PAS kawasan dimana ia berdaftar dan pihak PAS kawasan pula hendaklah menganjurkan satu kursus induksi untuk menyerahkan sijil keanggotaan tersebut kepada yang berkenaan bersama stater kit yang mengandungi perlembagaan parti dan kertas - kertas dasar yang menjelaskan prisip perjuangan Islam yang didokong oleh PAS .

12. Kursus induksi tersebut pula bertujuan memahamkan anggota baru mengenai PAS dan risalah perjuangannya . Kursus seperti ini perlu ada lanjutan dan kesinambungannya walaupun anggota itu telah bergelar ahli lama mahupun pimpinan . Nokhtah inilah sewajarnya menjadi titik bermula tugas besar lajnah Tarbiyyah dan lainnya .

13. Kebimbangan saya berasaskan realiti masakini dan belum terlambat untuk kita semua lakukan sesuatu yang positif dan berkesan di semua peringkat di mana kita berada . Kita semua pastinya tidak mahu anggota PAS [ ahli dan pimpinannya ] rendah wibawa , hilang thiqah [ kepercayaan ] korupsi dan tidak ada beza akhlaknya dengan musuh - musuh Allah swt.

14. Sebagaimana kita tidak mahu ada ......

* anggota bergelar pimpinan mendedahkan rahsia parti ,
* ahli yang hilang taat serta thiqahnya pada jamaah dan pimpinan ,
* wartawan lidah rasmi parti menghina pimpinan jamaah sendiri ,
* ruang untuk musuh akses maklumat parti dari dalam ,
* persaudaraan [ ukhuwwah ] antara kita retak dan belah ,
* pimpinan yang mengabaikan tanggungjawab / amanah parti dan ummah,

lantaran itu semua tidak melambangkan kualiti Ansoorullah yang diinginkan .

15. Perlu dilihat juga kepada kesediaan anggota parti [ ahli atau pimpinan ] untuk merelakan diri mereka ditarbiyyah oleh PAS ke arah membina prestasi anggota yang baik dan berkualiti . Selayaknya keadaan diri mereka selepas menganggotai PAS menjadi jauh lebih baik dari sebelumnya .

Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS.


Harakahdaily

Tuesday, April 13, 2010

APCO : Laporan polis serentak seluruh negara esok

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 April : Pemuda Pakatan Rakyat akan membuat laporan polis serentak jam 3 petang esok di semua ibu pejabat kontijen Polis seluruh negara berhubung isu APCO.

Mereka daripada Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) akan meminta siasatan dijalankan terhadap firma perunding APCO Worldwide dan pembabitannya dengan kerajaan Malaysia kerana bimbangkan pembocoran maklumat negara kepada pihak asing.

"Penglibatan APCO bagi kita memberi ancaman kepada kedaulatan negara.

"Kita akan minta pihak polis siasat dan mengambil tindakan segera agar keselamatan dan kedaulatan negara terjamin," kata ketua DPP, Nasruddin Hassan ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, satu himpunan aman akan diadakan di masjid-masjid negeri di seluruh negara pada hari jumaat ini bagi menyatakan bantahan terhadap penglibatan firma perunding yang didakwa ada kaitan langsung dengan Zionis Israel itu.

"Kita juga akan adakan demonstrasi serentak di masjid-masjid negeri 16 April ini sejurus solat jumaat," tambahnya lagi.

Sebelum ini beberapa laporan polis telah dibuat berkait isu sama di seluruh negara.

Antaranya dibuat Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Mariah Mahmood (Kota Raja) dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Friday, April 9, 2010

PAS Sarawak diarah tidak buat kenyataan mengenai kerusi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 April : PAS Pusat meminta PAS Sarawak supaya jangan membuat sebarang kenyataan mengenai pembahagian kerusi pilihan raya di negeri itu sehingga ia diselesaikan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

Setiauasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, sebarang kenyataan yang dibuat tanpa merujuk PAS Pusat dan Pakatan Rakyat akan menimbulkan persepsi kurang baik kepada PAS.

"Kalau PAS negeri mempunyai apa-apa pandangan, mereka boleh memberikannya kepada PAS Pusat dan kita akan bincangkan sesama parti dalam Pakatan Rakyat sebelum mengambil sesuatu keputusan.

"Jika diambil pendekatan yang ada sekarang, kita akan menyusahkan diri kita,"
kata beliau kepada Harakahdaily mengulas beberapa kenyataan yang dibuat oleh pimpinan tertentu PAS Sarawak.

Antaranya tentang kerusi-kerusi yang hendak ditandingi oleh PAS dalam pilihan raya negeri yang dijangka akan berjalan tidak lama lagi.


Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil Parlimen Sibu akan diadakan serentak dengan pilihan raya Dun seluruh negeri Sarawak.

SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil Parlimen Sibu dalam masa 60 hari selepas menerima notis kematian anggota Parlimennya, Datuk Robert Lau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan.

Lau meninggal dunia pagi tadi kerana barah.

Saifudin yakin, dalam pilihan raya Sibu ini, hanya satu calon dari Pakatan Rakyat akan bertanding berbanding pilihan raya umum lalu.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon DAP dan calon PKR menentang calon BN di Sibu. Hasilnya kedua-dua mereka kalah dengan majoriti 3,235 undi di tangan Robert Lau.

Wednesday, April 7, 2010

Perisik Israel dalam PDRM calar maruah Raja-Raja Melayu

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 7 April : Zionisasi dalam jentera kerajaan termasuk kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencabar dan mencalar maruah Raja-Raja Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Pasukan polis dikurniakan gelaran diraja sejak tahun 1958 lagi, oleh sebab itu tindakan membawa perisik Israel ke dalam pasukan tersebut dengan sendirinya mencabar dan mencalar maruah Raja-Raja Melayu.

"Ancaman tersebut semakin menakutkan apabila perisik-perisik Israel berkenaan terlibat dalam sistem komunikasi polis," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu memohon agar diadakan segera Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bagi membincangkan ancaman keselamatan ke atas negara ini.

"Kita memohon jasa baik Raja-Raja Melayu untuk bertindak segera kerana tidak mungkin Perdana Menteri akan mengambil inisiatif membincangkan ancaman keselamatan tersebut kerana perisik-perisik Israel tersebut dibawa masuk oleh pihak yang dilantik oleh kerajaannya sendiri untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital," katanya.

Mahfuz melihat apa yang berlaku itu sebagai ancaman kepada negara ini kerana institusi keselamatan negara seperti polis telah ditentukan hala tuju mereka dan ia terdedah kepada penguasaan Israel yang disifatkannya sebagai entiti haram pengganas.

"Ini sangat merbahaya kepada masa depan negara. Sepatutnya kerajaan perlu menjelaskan hal tersebut bukannya mengambil tindakan mengheret (Datuk Seri) Anwar yang mendedahkan perkara itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bila beliau mendedahkan penglibatan tersebut, mengheret Anwar bukannya satu penjelasan.

"Pendedahan yang dibuat oleh Anwar itu merentasi persoalan 1Malaysia ataupun One Israel tapi ini soal maruah dan kedaulatan negara yang dipelihara bukannya dijual kepada pihak luar, lebih-lebih lagi pihak zionis.

"Perdana Menteri perlu berani memberi penjelasan bukannya menjadi seorang yang penakut berhadapan kenyataan sebenar kerana perlantikan itu atas keputusannya sendiri," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai semakin rancaknya proses zionisasi ke atas negara ini melalui proses ‘mengIsraelkan’ jentera-jentera kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sudah pun bermula dalam bidang komunikasi melalui pengambilan Apco Worldwide dan juga di dalam pasukan polis.

Beliau juga meminta rakyat membuat penilaian sama ada ahli-ahli Umno akan memilih kesetiaan dan patriotisme kepada negara tercinta ini atau kepada pemimpin mereka ‘mengIsraelkan’ jentera-jentera kerajaan.

Anwar semalam mendedahkan di Dewan Rakyat tentang kewujudan perisik Israel dalam PDRM.

Katanya, perkara berkenaan sebelum ini telah disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.

Bercakap ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat semalam, Anwar turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menamakan syarikat terbabit, Asiasoft Global PLC yang berpangkalan di Israel.

Katanya lagi, ini membuktikan maklumat negara telahpun dijual kepada ejen asing.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan sikap kerajaan yang bermuka-muka.

"Tak iktiraf Israel tapi bersekongkol dengan rejim zionis yang kejam," katanya.

Tuesday, April 6, 2010

Portal KDN sahkan APCO terlibat

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 6 April : Lawatan firma perundingan antarabangsa APCO Worldwide (APCO) ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 28 Oktober tahun lalu, seperti yang dilaporkan oleh laman iKDN, portal rasmi kementerian (gambar atas) tersebut seolah-olah memberi satu jawapan berhubung sejauhmana firma yang dikatakan pro Zionis-Israel itu berperanan dalam urusan keselamatan dalam negara.

Munurut portal rasmi kerajaan itu, http://www.ikdn.org/, KDN telahpun mengadakan pertemuan dengan beberapa perunding antarabangsa paling lewat pada 23 Oktober tahun lalu.

Pertemuan itu, menurut portal KDN, adalah pertemuan kali yang kedua dari empat pertemuan seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Jelas sumber itu lagi, persetujuan KDN melantik APCO merupakan aktiviti kesinambungan dari program 'Supporting The Goverment Of Malaysia: Building Intergrated Goverment Communication' anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) sendiri.

Lebih mengejutkan, portal tersebut mendedahkah, dua siri pertemuan tersebut dipengerusikan sendiri oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam. (gambar)

Pemakluman rasmi itu sekaligus mengesahkan dakwaan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sebelum ini, bahawa perlantikan APCO boleh mengakibatkan keselamatan dalam negeri terdedah pada firma pro Zionis-Israel tersebut.

18 Mac lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam jawapan lisannya kepada Dewan Rakyat memberitahu, inisiatif kerajaan melantik APCO menguruskan perkhidmatan komunikasi menyeluruh dalam kerajaan supaya kerajaan mampu meningkatkan lagi kapasiti perkhidmatannya dalam bidang komunikasi.

Jawapan Nazri itu adalah mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar curiga 2 agen perisikan Israel di Bukit Aman

harakahdaily

Monday, April 5, 2010

Gambar sekitar program Pentas Pemuda PR & Pembelaan Rakyat dan Ziarah

Miri, 3 April 2010 - Pentas Pemuda Pakatan Rakyat telah diadakan di perkarangan rumah YDP PAS Kawasan Miri, Tuan Hj Jofri Jaraie. Antara pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat yang hadir ialah Ust Nik Abduh Nik Aziz, Ust Wan Syukhairi, Sdr Mohd Adram, Ust Nuri dan Ust Yusni Mat Piah. Turut diserikan lagi kemunculan Sdr Khairul Anuar Naib Ketua AMK Pusat, Dr Michael Teo (Ketua PKR Cabang Miri) dan beberapa pimpinan tempatan PR yang lain. Pada malam selain ceramah bersemangat dari pimpinan DPPP dan pimpinan PR yang lain, juga tertubuhnya Sekretariat Pakatan Rakyat Miri.


Pada pagi 4 April 2010 pula PAS Kawasan Miri telah mengadakan Program Pembelaan Rakyat dan Ziarah Dakwah di Kampung Tudan, Miri. Kehadiran Exco DPPP yang diketuai oleh Ust Nik Abduh Nik Aziz beserta rombongannya kali ini ternyata memeriahkan lagi program tersebut. Sebanyak 15 keluarga berbilang bangsa dan agama yang terdiri dari keluarga miskin yang amat daif telah diberi bantuan dan sumbangan untuk keperluan hidup seharian.









Sarawak terpinggir dari arus pembangunan material, spiritual

http://episodeperjuangan.blogspot.com/

1. Lawatan saya ke Bumi Kenyalang dalam misi memperkasa gerakan Pemuda PAS dan Pemuda Pakatan Rakyat di sana sungguh bermakna dan benar - benar menyentuh sanubari seorang pejuang .

2. Semangat anak - anak muda yang ingin melihat perubahan besar berlaku di negeri Sarawak cukup meyakinkan bahawa Sarawak adalah bumi yang subur buat perjuangan Islam yang kita dokong ini .

3. Sarawak sebagai sebuah negeri yang mempunyai banyak hasil bumi seperti minyak , gas , balak dan lainnya adalah sebuah negeri yang berpotensi besar untuk menjadi negeri yang paling maju di Malaysia dan rakyatnya pula adalah rakyat yang paling selesa dan bahagia . Bertolak dari kemajuan dan keselesaan itu pula , Sarawak sewajarnya mampu membekalkan ilmu dan pendidikan yang baik malah bertaraf dunia kepada seluruh rakyatnya .

4. Namun malang sejuta kali malang apabila rakyat Sarawak disenaraikan antara rakyat yang paling miskin dalam negara kita . Inilah musibah besar yang terpaksa dihadapi oleh rakyat negara ini ekoran penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara yang sangat ketara . Lihat sahaja negeri Terengganu yang turut mendapat jolokan sebagai Kuwait Malaysia seketika dulu lantaran minyak yang melimpah dikurniakan Allah swt , tetapi dukanya Rakyat Terengganu juga antara rakyat termiskin dalam negara ini .

5. Sarawak yang hanya mempunyai 2.4 juta penduduk berbanding pendapatan kerajaan negeri Sarawak yang sedemikian banyak , selayaknya sejak 47 tahun negeri ini merdeka tiada lagi rakyat yang hidup miskin dan berada di bawah paras kemiskinan yang bisa meluluh sanubari insaniah .

6. Lebih malang 37% ummat Islam [ 888.000 orang ] Sarawak tidak mendapat pendidikan agama yang sewajarnya sebagai seorang muslim terutama kepada muslim yang berada di kawasan pendalaman . Mereka terus terhimpit atau terperangkap dalam kemiskinan dan kejahilan yang parah . Jurang perbedaan tahap upaya ekonomi keluarga juga sangat ketara antara golongan kaya dan miskin . Pemandangan di Sarawak jelas dapat dilihat secara mata kasar bagaimana jurang perbedaan kaya miskin itu selebar jarak "langit dan bumi" .

7. Saya tidak nafi berlakunya perkembangan dakwah dan peningkatan ummat Islam di Sarawak tetapi perlu diingatkan bahawa Islam tidak sekadar mengislamkan insan kemudian meninggalkan mereka kekal dalam keadaan jahil dan terus leka dibawa arus maksiat serta mungkar tanpa ada usaha yang gigih dan berkesan untuk membimbing atau mendidik mereka agar menjadi insan yang soleh dan bertaqwa .

8. Sarawak telah memiliki institusi Islam yang baik seperti surau [ 845 buah ] dan masjid [ 352 buah ] . Malah Sarawak juga turut mempunyai Ngos Islam seperti Harakah Islamiah [HIKMAH] , PERKIM , PERKIS , JIM , ABIM , AMAL , PERKEPIS , SEMISA dan 74 buah Lembaga Amanah Khairat di seluruh negeri Sarawak . Segala potensi ini sewajarnya tidak hanya diberi peruntukkan material berupa dana dan bangunan semata - mata tetapi juga peruntukkan kuasa dan bidang tugas yang lebih luas dan besar agar mereka benar - benar berfungsi tanpa kekangan yang membantutkan usaha murni mereka .

9. Peningkatan 78 buah perkampungan baru Islam si seluruh negeri Sarawak juga mestilah diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri agar kebajikan dan pendidikan mereka dijamin sebaik mungkin . Bukan sahaja kaum dan bangsa yang menganut ajaran Islam tetapi jua kepada seluruh rakyat negeri Sarawak selayaknya diberikan tumpuan oleh kerajaan agar taraf hidup mereka ditingkatkan sekaligus memberi harapan dan sinar baru buat masa depan mereka.

10. Setakat ini , apa yang berlaku di Sarawak ialah pengaruh dan penguasaan ekonomi negeri hanya dibolot oleh golongan pemimpin dan kroni parti pemerintah . Segala projek dari serendah nilai seperti projek angkut sampah hinggalah kepada projek mewah setinggi nilai dikaut dan dikuasai oleh individu dan golongan [ elit ] tertentu sahaja.

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.



Harakahdaily

Friday, April 2, 2010

16 Sept : Anwar mengaku hantar surat kepada Agong

KUALA LUMPUR, 1 April — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengaku beliau ada menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 19 Sept 2008 untuk memohon menghadap bagi memaklumkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan.

Pengakuan Anwar itu dibuat ketika beliau mencelah ucapan penggulungan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat di sini.

“Pada 18 September, saya mendapat persetujuan pimpinan tiga parti pembangkang iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang untuk menulis kepada Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) supaya diadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan usul dewan sudah hilang kepercayaan terhadapnya dan kepimpinan beliau.

“Mustahil jika saya berani menulis surat itu jika saya tidak mendapat perakuan Ahli Parlimen lain dan selepas surat itu ditolak, saya menulis pula kepada Speaker tetapi turut ditolak dan kemudian kepada Tuanku Mizan,” katanya.

Pendedahan Anwar itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh seketika dan beberapa anggota Parlimen menyifatkannya sebagai satu pembohongan.

Bagaimanapun, beliau tidak pula menyebut nama-nama anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwanya telah membuat perakuan untuk menyokong pakatan pembangkang ketika itu.

Mohamed Nazri berkata Anwar sudah pasti akan menghantar surat tersebut terus kepada Seri Paduka Baginda jika beliau berjaya “menarik” antara 20 hingga 30 anggota Parlimen BN tanpa perlu bersusah-payah mengikut saluran pertama dan kedua itu.

“Sepatutnya Anwar membawa tandatangan 20 atau 30 orang yang berjaya ditariknya dari BN kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi dia tidak ada. Pembangkang ada 82 dan BN ada 140, bagaimana nak buat undi tak percaya itu,” katanya.

Mohamed Nazri juga berkata dakwaan bahawa ramai anggota Ahli Parlimen BN melompat parti untuk menyertai pakatan pembangkang adalah tidak benar, sebaliknya, anggota Parlimen mereka pula yang keluar parti untuk menjadi calon Bebas.

Katanya, tuduhan bahawa BN memberi imbuhan atau sogokan kepada wakil rakyat pembangkang yang menyertai BN juga tidak berasas dan rakyat boleh menilai sendiri pembohongan itu selepas anggota Parlimen terbabit membuat pendedahan.

Beliau berkata BN tidak perlu mencuri wakil rakyat pembangkang kerana mereka mempunyai kerusi mencukupi di Dewan Rakyat walaupun bukan dua pertiga.

Mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamed Nazri berkata, bagi tempoh 1 Jan 2009 hingga 28 Feb lepas, seramai 25 ahli politik ditahan dan 15 daripadanya dihadapkan ke mahkamah.

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata 13 daripada BN.

“Ini membuktikan SPRM badan profesional dan bukannya alat politik Umno dan BN. Sumbangan agensi itu perlu diberi pengiktirafan tinggi kerana siasatan dilakukan tanpa dipengaruhi arahan mana-mana pihak,” katanya lagi.

Dewan kemudian meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Persidangan dewan bersambung Isnin ini. — Bernama

themalaysianinsider

Calon Hulu S'gor : Zaid antara dipanggil Anwar

Jimadie Shah Othman
Apr 1, 10 5:00pm


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah menemui kira-kira 10 orang, termasuk penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi.

Menurut sumber-sumber, pertemuan tersebut diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas tamatnya mesyuarat biro politik parti itu kira-kira jam 11 malam tadi.

“Mereka masuk (bertemu Anwar) secara berperingkat-peringkat, dimulakan dengan dua anggota biro politik, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) dan Shamsul Iskandar Md Akin,” kata mereka ketika ditanya tentang pertemuan tersebut.

Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad ada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Berikutan itu spekulasi berhubung siapakah bakal dicalonkan bagi bertanding mempertahankan kerusi tersebut, berterusan dalam PKR.

Pelbagai nama disebut-sebut telah dikemukakan kepada parti. Selain Zaid dan Shamsul (kiri), turut disebut-sebut ialah penceramah popular, Badrul Amin; presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud; bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar; dan aktivis peguam, N Surendran.

Manakala PKR cabang tersebut pula menamakan dua anak tempatan - Razali Mokhtar dan Datuk Dr Halili Rahmat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber memberitahu kesemua nama yang disebut-sebut itu dipanggil, termasuk beberapa nama lagi yang tidak diketahuinya.

“Jumlah kesemuanya kira-kira sepuluh orang,” kata sumber-sumber itu. Terdapat sumber lain memberitahu, jumlah keseluruhannya 11 orang.

Tambah mereka, pertemuan tersebut hanya sesi “sembang-sembang” dengan Anwar bagi mengenalpasti calon yang paling layak untuk dipilih.

Ditanya tentang perbincangan biro politik yang bersidang malam tadi, sumber-sumber memaklumkan bahawa soal pemilihan calon ditimbulkan tetapi “tidak dibincangkan sangat” kerana ia merupakan bidang kuasa presiden dan ketua umum.

“Presiden dan ketua umumlah yang akan memilihnya,” katanya yang menjangka pemilihan calon tidak akan dibuat tergesa-gesa, termasuk dalam mesyuarat majlis tertinggi PKR Ahad ini.

Ditanya tentang nama-nama yang dianggap selesa, sumber tersebut menamakan Syed Shahir dan Khalid.

“Yang lainnya masih 50-50,” katanya sambil menambah, kemungkinan terdapat di kalangan mereka yang dipanggil semalam tidak berminat dan akan memberikan laluan kepada pihak lain.

malaysiakini

Thursday, April 1, 2010

salam OneIsrael ~ salam 1Malaysia

"Najib perlu jawab siapakah APCO? Apa kaitan APCO dengan Israel? Apakah itu sudah dijawab atau belum? Buat apa nak serang saya lagi, saya dah diserang banyak," ~ DSAI


Najib perlu jawab siapa APCO, buat apa serang saya - Anwar


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 April : "Najib perlu jawab siapakah APCO? Apa kaitan APCO dengan Israel? Apakah itu sudah dijawab atau belum? Buat apa nak serang saya lagi, saya dah diserang banyak," kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui di parlimen lewat petang ini.

Sehubungan itu, beliau mempertikai tindakan kerajaan BN yang mahu mengheretnya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ekoran mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel.

Baginya, isu sebenar adalah tertumpu kepada kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab pendedahan yang dibuatnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, adalah tidak wajar jika BN terus merujuknya ke jawatankuasa khas tersebut tanpa sebarang penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan itu.

Anwar turut mempersoal tindakan kerajaan yang dilihat bermati-matian mempertahan penglibatan APCO dalam kempen 1Malaysia.

"Soalnya Umno dan Perdana Menteri perlu jawab, kenapa pilih APCO dan pertahan APCO mati-matian?" soalnya lagi.

Beliau memberitahu demikian sebagai mengulas pengumuman BN yang dibuat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz siang tadi.

Nazri pada sidang media tengah hari tadi memberitahu BN akan menghadapkan Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel.

Harakahdaily

salam OneIsrael ~ barisan neraka terdesak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam satu sidang media di lobi Parlimen berkata, beliau akan menghantar surat kepada Speaker esok bagi mengusulkan perkara itu dan akan memastikan tindakan diambil dalam masa sepuluh hari.

"Kerajaan telah putuskan bahawa kita akan membawa usul untuk merujuk Permatang Pauh (Anwar) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana telah mengelirukan dewan dengan mengaitkan 1Malaysia dengan Israel," katanya.



Rujuk Anwar : Kerajaan takut jelaskan isu APCO

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 1 April : Kerajaan disifatkan sebagai takut untuk menjelasakan isu APCO apabila mengambil tindakan merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tanpa membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, tindakan kerajaan itu menunjukkan kerajaan juga lemah untuk berhujah dan mengemukakan fakta bagi menafikannya.

"Sebelum merujuk Anwar, mereka perlu membuat penjelasan berhubung dakwaan Anwar tentang penglibatan APCO sebagai perunding dan penasihat 1Malaysia.

"Pada saya, kerajaan lemah dan tiada fakta untuk berhujah, mereka masih belum menjawab di Dewan Rakyat biarpun menafikan penglibatan APCO dalam gagasan 1Malaysia,” ujarnya kepada Harakahdaily petang ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tindakan merujuk Anwar ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen juga akan terus memburukkan imej kerajaan.

Rakyat Malaysia dan antarabangsa, katanya sedang menunggu penjelasan tuntas daripada kerajaan berhubung perkara itu.

"Tindakan merujuk Anwar tidak membantu membersih imej kerajaan malah akan terus memburukkan lagi imej negara kepada masyarakat negara dan juga masyarakat antarabangsa khususnya negara anggota OIC," katanya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, tindakan terhadap Anwar itu bertujuan bagi menyekat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terlibat dalam perbahasan Dewan Rakyat akan datang.

"Sidang akan datang sangat penting kerana melibatkan perbahasan isu Model Ekonomi Baru (MEB) Najib dan RMK10, mereka mungkin mahu menyekat Anwar daripada terlibat," katanya lagi.

Sebelum itu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk mengheret Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam satu sidang media di lobi Parlimen berkata, beliau akan menghantar surat kepada Speaker esok bagi mengusulkan perkara itu dan akan memastikan tindakan diambil dalam masa sepuluh hari.

"Kerajaan telah putuskan bahawa kita akan membawa usul untuk merujuk Permatang Pauh (Anwar) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana telah mengelirukan dewan dengan mengaitkan 1Malaysia dengan Israel," katanya.

Laporan berkaitan

Kerajaan hadapkan Anwar ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen